Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Beri mangsa minum sebotol air mineral dan nasihat.
Itulah pendekatan yang dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal ketika memujuk seorang wanita daripada terjatuh dari aras 10, Apartment Taman Bukit Erskine, Tanjung Bungah di sini petang tadi.
Pegawai Operasi, Wan Chik Ariffin Mohd. Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 3.54 petang tadi dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati seorang wanita berusia 30-an dalam keadaan sudah mahu melompat ke bawah dari tingkat 10, taman permainan bangunan terbabit.
“Anggota cuba memujuknya secara komunikasi dua hala dan mengarahkan semua penduduk berada di dalam rumah masing-masing ketika itu. Kami juga memberinya minum air mineral,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.
Menurut Wan Chik, mangsa mendakwa dia nekad melakukan perkara sedemikian selepas mengetahui teman lelakinya mempunyai hubungan dengan wanita lain.
“Operasi memujuk mengambil masa kurang 40 minit dan mangsa akhirnya akur dengan nasihat yang diberikan anggota bomba.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada anggota polis yang turut berada di lokasi kejadian untuk tindakan dan siasatan lanjut,” ujarnya lagi. – K! ONLINE