Oleh NOOR HAYATI MAMAT
HULU TERENGGANU – Seramai 63 orang menyertai aktiviti bermain pelampung sambil mengibarkan Jalur Gemilang di Sungai Berang berhampiran Kampung Menerong, Kuala Berang di sini hari ini.
Penyelaras program, Mohd. Irwan Abdul Jalil berkata, program yang julung kali diadakan itu bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-63.
“Mereka menyelusuri Sungai Berang dengan tiub air (pelampung) sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
“Sepanjang tujuh kilometer laluan mereka berpelampung, puluhan Jalur Gemilang juga dipacak di kiri kanan tebing sungai, ” katanya di sini hari ini.
Mohd. Irwan yang juga Pengerusi Experience Terengganu, perjalanan peserta program Tubing Merdeka terbabit mengambil masa kira-kira tiga jam bermula dari Kampung Menerong, Kuala Berang hingga ke Kampung Pengkalan Ajal, Ajil di sini.
Beliau berkata, sepanjang perjalanan itu, peserta menikmati kejernihan air Sungai Berang dan pemandangan semulajadi yang mengasyikkan ala Little Amazon.
“Program menyelusuri sungai ini juga mengimbau kehidupan masyarakat tempatan zaman silam yang menjadikan pengangkutan air sebagai medium utama untuk bergerak,” katanya. – K! ONLINE