fbpx

7 puteri bunian Ulek Mayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAGU Ulek Mayang asalnya merupakan mantera yang digunakan oleh dukun untuk menyembuhkan seorang nelayan yang terperangkap di alam bunian. – Gambar hiasan

ULEK Mayang yang merupakan antara lagu rakyat masyarakat Melayu Terengganu sehingga hari ini terus dikaitkan dengan unsur mistik dan seram.

Stigma sebegitu disebabkan asal-usul lagu itu dikatakan mantera yang didendangkan dalam ritual menghalau entiti jahat.

Tidak hairanlah, ada yang mendakwa mendengar lagu dan menyaksikan tarian Ulek Mayang versi penuh bukan sahaja mampu menegakkan bulu roma, malah kadangkala menyebabkan kerasukan.

Kisah di sebalik lagu Ulek Mayang dikatakan berlaku ratusan tahun lalu sewaktu kebanyakan masyarakat masih mengamalkan kepercayaan animisme.

Lirik asal lagu itu menggambarkan perjuangan seorang dukun bertarung dengan tujuh puteri daripada alam bunian yang menganggu seorang nelayan.

Lelaki tersebut tidak sedarkan diri selepas dia dan rakan-rakan yang menangkap ikan terjatuh ke dalam laut akibat bot dinaiki mereka dipukul ribut.

Mereka kemudian terdampar di tepi pantai dan semua nelayan itu kembali sedar tidak lama kemudian, kecuali lelaki tersebut.

Masyarakat pada masa itu percaya roh lelaki berkenaan terperangkap di alam bunian kerana diminati tujuh puteri itu.

Dukun melakukan upacara ritual untuk memulihkan nelayan itu sebelum bertarung dengan seorang demi seorang puteri bunian.

Pertarungan berlangsung sengit sebelum dukun berjaya menyedarkan lelaki itu.

 

ILUSTRASI pelukis tentang puteri bunian yang tercatat dalam legenda Terengganu yang diceritakan dalam lagu Ulek Mayang.

 

Kesemua puteri bunian itu berjaya dipujuk pulang ke tempat asal mereka dan melupakan niat untuk ‘menakluk’ nelayan terbabit.

Walaupun ada yang berpendapat tujuh adik-beradik bunian itu berasal dari laut, orang zaman dahulu berpendapat, puteri-puteri tersebut sebenarnya menetap di sebuah bukit yang kini dinamakan Bukit Puteri.

Bukit yang seluas 0.69 hektar dengan ketinggian kira-kira 200 meter dari paras laut sekarang terletak berhadapan dengan Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu.

Bagi penduduk setempat, Bukit Puteri dinamakan sempena tujuh beradik puteri bunian yang dipercayai menjadi penjaganya.

Mereka percaya, puteri-puteri berkenaan turut disebut dalam lagu Ulek Mayang.

 

BUKIT Puteri, Kuala Terengganu dikatakan mendapat nama daripada kisah tujuh puteri bunian yang menjaganya. – Gambar hiasan

 

Masyarakat pada masa itu dikatakan sering mendaki Bukit Puteri untuk meminjam periuk dan pinggan mangkuk bagi melangsungkan majlis keramaian seperti kenduri perkahwinan.

Segelintir tidak berterima kasih dengan merosakkan, malah ada yang tidak mengembalikan perkakas itu. Ini mengecewakan puteri bunian menyebabkan mereka merajuk dan membawa diri mendiami bukit lain di sempadan daerah Besut dan Setiu.

Kisah tujuh beradik puteri bunian dan Bukit Puteri kini menjadi legenda, manakala Ulek Mayang pula disesuaikan menjadi lagu rakyat yang masih didendangkan hingga kini.

Di sebalik mitos kewujudan penjaga bunian, Bukit Puteri turut merakam pelbagai peristiwa penting sepanjang lembaran sejarah Kesultanan Melayu Terengganu yang diasaskan Sultan Zainal Abidin I pada tahun 1725.

Selain pernah dijadikan kubu pertahanan kerana lokasinya strategik menghadap muara Sungai Terengganu, Bukit Puteri juga menjadi saksi perang saudara kerabat diraja yang berlaku antara tahun 1831 hingga 1876.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI