PUTRAJAYA – Kluster Tawar terus merekodkan peningkatan kes jangkitan Covid-19 apabila mencatatkan enam kes baharu dengan lima di Kedah dan satu di Pulau Pinang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu adalah sebahagian daripada 25 kes positif yang dilaporkan setakat hari ini dengan jumlah kumulatif kes jangkitan Covid-19 di Malaysia sebanyak 9,200.
Beliau berkata, terdapat sembilan kes penularan tempatan melibatkan tujuh warganegara dan dua bukan warganegara manakala baki 16 kes adalah kes import.
“Daripada jumlah tersebut, enam dilaporkan di Kluster Tawar dan satu melibatkan kes saringan prapembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah.
“Kes penularan tempatan dalam kalangan bukan warganegara pula dikesan di Kuala Lumpur yang merupakan saringan rawak di tempat kerja oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) membabitkan dua pekerja kedai makan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak PKD akan menjalankan pengesanan kes secara aktif di kedai makan terbabit dengan mengambil persampelan dan menjalankan siasatan lanjut selepas notis penutupan premis itu tular di media sosial hingga menimbulkan sedikit keresahan dalam kalangan pelanggan.
“Kedai makan tersebut telah ditutup buat sementara waktu bagi tujuan pembersihan dan nyahkuman,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, Kluster Sala dan Kluster Muda tidak melaporkan kes baharu hari ini.
Katanya, tiga lagi kluster ditamatkan iaitu Jeti Kuching di Sarawak serta PUI Ramnad dan Restoran Kuala Lumpur yang dikesan di ibu negara.
“Kluster Jeti Kuching sebelum ini merekodkan dua kes manakala PUI Ramnad (tiga kes) dan Restoran Kuala Lumpur (dua kes). Tiada kes kematian dilaporkan di ketiga-tiga kluster,” katanya. -K! ONLINE