BARCELONA – Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel menafikan dakwaan bahawa dia akan meninggalkan pasukan itu lebih awal dan tidak akan menyelesaikan perlumbaan musim ini.
Ia berikutan masalah prestasinya yang dilihat semakin teruk sekali gus menimbulkan spekulasi ‘jodohnya’ bersama pasukan yang berpangkalan di Maranello hampir menemui penghujung.
Juara dunia empat kali itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Racing Point dan Renault selepas Ferrari sudah mengesahkan tempatnya bakal diambil oleh Sergio Perez musim depan.
Pelumba Jerman itu sebaliknya menegaskan, dia gembira bersama pasukan Itali tersebut dan menolak sebarang spekulasi mengenai masa depannya.
“Saya berada di tempat yang membuatkan saya gembira. Saya suka untuk bersaing di kelompok depan dan berasa mampu menjuarai perlumbaan.
“Musim ini agak sukar dengan pakej dan kemampuan yang kami ada,” katanya.
Vettel juga menolak andaian yang Ferrari akan menamatkan kontraknya lebih awal.
“Mengenai kontrak, saya tidak tahu, saya tak rasa Ferrari akan bertindak sedemikian. Kami tidak pernah melakukan sebarang perjanjian mengenai perkara ini,” jelasnya. – AGENSI