SONIIA Cheah sedia membuktikan statusnya sebagai pemain perseorangan wanita No. 1 negara menjelang aksi final Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) esok.
Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Gold Coast 2018 itu akan membuat perhitungan dengan pemain remaja, Eoon Qi Xuan yang muncul sebagai naib juara saingan peringkat kumpulan.
Soniia yang meletakkan sasaran juara sedar dia akan berdepan laluan sukar untuk merangkul gelaran sekiranya tidak mengubah corak permainan esok.
Kemampuan Qi Xuan tidak boleh dipandang rendah memandangkan pemain berusia 19 tahun itu pernah menewaskan Lee Ying Ying dan K. Letshanaa selain memberi tentangan hebat kepada Soniia di peringkat kumpulan.
“Sebenarnya masih banyak kelemahan yang ada dalam permainan saya walaupun sudah mengesahkan tempat pada perlawanan akhir. Saya perlu elak melakukan kesilapan-kesilapan mudah nanti.
“Apa yang penting, saya perlu ubah corak permainan pada perlawanan akhir nanti kerana Qi Xuan bukan lawan yang mudah. Saya tidak akan beri laluan mudah kepadanya pada aksi final,” kata Soniia.
Perlawanan akhir acara perseorangan wanita dijangka berlangsung sengit esok memandangkan kedua-dua pemain itu bakal mendapat rehat sehari bagi memberi laluan kepada aksi separuh akhir hari ini.
Sementara itu, saingan sedikit berbeza dalam acara perseorangan lelaki apabila Lee Zii Jia, Liew Daren dan Soong Joo Ven terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
Kecederaan dialami tiga pemain itu mungkin disebabkan lama tidak beraksi pada saingan kompetitif selain jadual perlawanan yang agak padat.