fbpx

Perpaduan kaum melalui Rukun Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan.

 

MOHAMMAD SHAHEMY AZMI, WARTAWAN EKSEKUTIF

 

Bila berbicara tentang Malaysia, tersebar di serata pelosok dunia tentang kemakmuran rakyat di negara berdaulat ini yang hidup dalam keberagaman kaum, bangsa dan agama.

Buktinya, beberapa YouTuber antarabangsa seperti Blimey, Beer For Breakfast, Lifey, Mark O’Dea dan Remote Darren pernah menghasilkan video positif memuji kehidupan masyarakat Malaysia berdasarkan pengalaman masing-masing.

Malah, mereka juga tidak segan mengaku telah jatuh hati dengan Malaysia sejak kali pertama menjejakkan kaki di Malaysia dan berharap dapat tinggal di negara ini.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, beberapa isu-isu sensitif yang dilihat mampu mengganggu gugat perpaduan negara muncul serta menjadi perbalahan dalam kalangan masyarakat.

Hanya menyebut beberapa isu hangat yang pernah berlaku se­perti penghinaan logo Jata Negara, papan tanda tulisan Jawi, Jalur Gemilang terbalik dan isu Bahasa Malaysia.

Baru-baru ini, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique bercadang untuk mengembalikan semula mata pelajaran mengenai amalan Rukun Negara dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, cadangan tersebut penting untuk membangunkan pendidikan Rukun Negara agar lima prinsipnya dapat dihayati masyarakat terutamanya gene­rasi muda.

“Ia seperti mata pelajaran Tata Rakyat yang berkenaan kefahaman masyarakat majmuk, perpaduan, sikap toleransi, hormat-menghormati dan adat resam,” kata Halimah.

Katanya, bagi tujuan pengha­yatan, Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara menjadi platform utama kementerian melaksanakan agenda tersebut.

Menurut pakar Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, Rukun Negara merupakan salah satu idealogi perpaduan untuk membentuk tamadun Malaysia.

“Perkauman selalu menjadi isu sensitif dan penghayatan terhadap Rukun Negara adalah salah satu cara untuk kita sentiasa dapat menangani isu perpaduan,” katanya.

Ujarnya, isu perkauman di Malaysia masih wujud walaupun usia Rukun Negara kini mencecah 50 tahun kerana Malaysia masih berada dalam keadaan persimpangan atau tidak menentu dari segi identiti dan jati diri negara.

“Penghayatan perpaduan ini biarpun berapa lama tahun usianya sekalipun, ia perlu ditatang supaya tidak wujud pera­saan prejudis serta prasangka dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Menurutnya, bara-bara panas tentang isu perkauman juga se­ring menjadi perbualan dalam media sosial.

Malah, jika ia tidak dibendung, dibimbangi akan menjadi barah, sekali gus meranapkan usaha dan impian untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki perpaduan kaum yang erat.

“Walaupun sesebuah negara itu telah mencapai kemerdekaan beratus tahun sekalipun, usaha untuk mengeratkan perpaduan antara kaum perlu dilakukan secara berterusan,” kata Sham­rahayu.

Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 yang bakal di­sambut pada bulan ini diharapkan seluruh warga Malaysia lebih membuka mata dan minda untuk menerima antara satu sama lain tanpa menjejaskan persefahaman kaum.

Usah dicemari imej Malaysia yang sememangnya dikenali sebagai negara berbilang kaum, hanya dengan isu-isu perbalahan yang boleh diselesaikan dengan cara baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI