JAKARTA, Indonesia – Seorang pengantin perempuan menangis seperti terkena histeria apabila mengetahui bekas kekasihnya datang ke majlis pernikahannya telah tular dalam laman sosial, baru-baru ini, lapor laman Suara Bali.
Kejadian sedih itu telah dirakam dan dimuatnaik dalam laman sosial Facebook oleh seorang pengguna, Yuni Rusmini pada 4 Ogos lalu.
Berdasarkan rakaman video, kelihatan seorang pengantin perempuan berbaju hitam berdiri bersama sekumpulan pengiring pengantin memakai baju kebaya.
Bagaimanapun, suasana yang pada awalnya kelihatan tenang bertukar menjadi gamat apabila pengantin perempuan menoleh ke belakang dan melihat bekas kekasihnya sedang memegang payung.
Kerana tidak dapat mengawal diri, pengantin perempuan itu terus memeluk dan menangis sekuat hati seperti terkena histeria.
Video tersebut yang turut dimuatnaik di laman Instagram mendapat pelbagai reaksi netizen.
Salah satu komen yang ditinggalkan memberitahu, kedua-dua pasangan kekasih itu terpaksa berpisah selepas keluarga pengantin perempuan menjodohkannya dengan lelaki lain.
“Kasihan dengan pengantin perempuan, bekas kekasihnya dan pengantin lelaki,” ujar pengguna akaun Instagram @roslianna***.
Seorang lagi pengguna, @r.za** berkata, ibu bapa pengantin perempuan berkemungkinan tidak mahu menunggu terlalu lama dan mencarikan jodoh anaknya dengan lelaki yang telah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Video yang tidak didedahkan lokasinya itu telah mendapat hampir 100,000 kali tontonan di Instagram. – Agensi