fbpx

Penerbit, pengarah Yusof Kelana meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUSOF KELANA

KUALA LUMPUR – Penerbit dan pengarah terkenal Yusof Kelana menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pagi tadi akibat kanser kulit tahap empat yang dihidapinya.

Menurut Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff, Yusof yang berusia 66 tahun dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 pagi tadi di kediamannya di Taman Melawati, Ulu Klang.

Sebelum ini, Yusof yang menerima rawatan di Institut Kanser Negara, Putrajaya berada dalam keadaan kritikal pada 6 Ogos lalu sebelum beliau dibawa pulang ke kediamannya oleh keluarga.

“Arwah meninggal dunia pukul 9.30 pagi tadi di sisi isteri dan dua orang anaknya. Keadaan beliau memang sudah kritikal beberapa minggu lalu, sebab itu doktor meminta keluarganya membawa pulang arwah ke kediaman,” ujar Jurey ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Jurey, arwah yang pernah menjadi antara pengarah drama kepolisan popular Gerak Khas menerusi RTM itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gates selepas Asar.

Selain Jurey, beberapa kenalan dan rakan baik arwah termasuk penerbit tersohor Datuk Yusof Haslam kini berada di kediamannya untuk memberi penghormatan terakhir.

Yusof atau nama sebenarnya Omar Saleh mendapat tanda awal kanser yang dihidapinya selepas mengalami luka sebesar duit syiling 50 sen pada bahagian tapak kaki sejak dua tahun lalu.

Namun beliau yang sememangnya tidak suka ke hospital membiarkan sahaja luka itu merebak sebelum kemudiannya disahkan menghidap kanser kulit tahap empat pada Jun lalu.

Yusof memulakan kerjaya sebagai pengarah filem pada 1996 menerusi karya Tragedi Oktober yang ketika itu merekodkan kutipan pecah panggung sebanyak RM3.2 juta.

Kemudian pada tahun 2003, beliau meneruskan kerjasama bersama syarikat Skop Production menerusi filem MX3 dan Pontianak Menjerit (2005).

Menerusi syarikat miliknya YKS Film Maker dan Reliance Media Group, Yusof pernah menerbitkan dua buah filem iaitu Bidong: The Boat People (2018) dan Mahathir: The Journey (2019). K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI