Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
ATLET petanque, Syed Akmal Fikri Syed dan atlet boling padang, Nur Ain Nabilah Tarmizi masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2019 pada Majlis Anugerah Sukan (MAS) UiTM di Shah Alam semalam.
Penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Emiritus Datuk Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim.
Syed Akmal, 23, yang merupakan pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi memberitahu, dia tidak meletakkan sebarang harapan bagi memenangi anugerah itu kerana sudah tiga kali disenaraikan sebagai calon.
Katanya, kesemua yang tercalon memiliki pencapaian hebat dalam sukan masing-masing.
“Kejayaan ini mungkin atas faktor kejayaan saya memenangi dua pingat emas berturut-turut dalam dua temasya Sukan SEA .
“Selepas ini, saya akan sertai beberapa kejohanan dalam negara sebagai persiapan untuk kejohanan tahun depan,” katanya kepada pemberita semalam.
Sementara itu, Nur Ain Nabilah, 22, menzahirkan rasa syukur atas kemenangan itu yang mengubati kekecewaan selepas pembatalan beberapa pertandingan sukan boling padang.
“Sepatutnya, saya bersama atlet kebangsaan lain menyertai Kejohanan Boling Padang Asia di China, namun dibatalkan dan ketika ini saya hanya menjalani latihan di Kompleks Sukan Bukit Kiara,” kata pelajar Diploma Fakulti Sains dan Rekreasi itu.