KEMUNCULAN semula penyanyi Soyou dalam industri menerusi single Gotta Go bukan sahaja menerima respons positif daripada peminat, namun ada juga perkara negatif dibangkitkan netizen.
Dakwa netizen, wajah penyanyi itu kelihatan berbeza bahkan ada mengatakan Soyou melakukan pembedahan plastik mengubah wajahnya sebelum membuat kemunculan semula.
Ketika muncul dalam program Two O’Clock Date With Ahn Young Mi and Muzie, Soyou menjelaskan warna kulitnya menjadi sedikit gelap kerana sibuk mempromosikan lagu Gotta Go.
“Memang wajah saya nampak sedikit janggal tetapi sebenarnya kulit saya sedikit gelap kerana promosi single baharu.
“Saya juga memakai solekan yang agak gelap. Sebenarnya saya kembali kepada Soyou yang dahulu, inilah saya,” jelasnya.
Tambah bekas anggota kumpulan SISTAR itu lagi, dia mengalami perubahan berat badan sebelum dan semasa membuat kemunculan semula dalam industri.
“Berat badan saya turun sebelum saya sibuk dengan promosi dan ketika sudah kembali aktif, badan saya kembali berisi. Ketika itulah khabar angin saya lakukan pembedahan plastik bertebaran,” katanya.
Soyou kembali aktif dalam dunia hiburan dengan meluncurkan single Gotta Go pada 28 Julai lalu selepas kali terakhir muncul dengan lagu solo pada 2018 menerusi All Night.