Oleh SHAARANI ISMAIL
PARIT – Mayat dipercayai seorang wanita tanpa pakaian yang sudah mereput ditemui di dalam sungai berdekatan pam pasir Kampung Baru, Bota dekat sini pagi tadi.
Penemuan mayat berkenan dimaklumkan oleh orang awam kira-kira jam 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pasukan siasatan yang sampai di lokasi kemudian memaklumkan penemuan mayat ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah.
Katanya, polis kemudian memohon bantuan dari pasukan Bomba dan Penyelamat Parit untuk bantuan bot dan kelengkapan menyelamat selepas mendapati mayat berada di tengah sungai Perak dan tersangkut pada tali rumah pam.
“Pada jam 9.45 pagi, pasukan Bomba dan Penyelamat Parit tiba dan operasi dikawal ketat dan petugas dibekalkan dengan peralatan perlindungan peribadi (PPE) bagi langkah pencegahan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Barudin berkata, mayat wanita terbabit yang dipercayai warga emas kemudian berjaya dibawa naik kira-kira jam 11.15 pagi.
Katanya, pemeriksaan mendapati mayat dalam keadaan sempurna kecuali pergelangan tangan mayat yang sudah tertanggal dari badan manakala kulit sudah berpisah dari isi.
“Mayat dipercayai berada dalam air selama kira-kira seminggu berdasarkan keadaan tubuh badannya.
“Setakat ini tiada sebarang kecederaan atau pun luka fizikal ditemui pada badan mayat berkenaan dan tiada unsur jenayah dikesan,” katanya.
Beliau berkata, mayat kemudian dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat namun punca kematian masih tidak dapat dikenalpasti selepas bedah siasat dijalankan berikutan keadaan mayat yang terlalu reput.
Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut turut dijalankan berdasarkan laporan orang hilang yang dijalankan.
“Hasil semakan mendapati satu kertas siasatan berkaitan orang hilang di
Bota telah dibuka berdasarkan pengaduan seorang perempuan Melayu pada 29 Julai lalu berhubung kehilangan ibu saudaranya bernama Siah Junus, 90, di Batu 10 3/4, Bota Kanan yang belum ditemui sehingga kini.
“Pengadu untuk kes ini telah dipanggil untuk pengecaman lanjut namun tidak dapat membuat pengecaman berikutan keadaan mayat yang mereput selain tiada sebarang tanda pengenalan diri, parut dan sebagainya pada mayat tersebut,” katanya. – K! ONLINE