OLeh NOR AINNA HAMZAH
REMBAU – Seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian kaki dan melecur di tangan apabila kenderaan dipandunya terbakar di kilometer 249, Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara), di sini, petang tadi.
Dalam kejadian berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 6.20 petang.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fuad Majid,
sebaik tiba di lokasi kejadian pada pukul 6.38 petang, mangsa berusia 59 tahun sudah keluar dari kenderaan jenis Proton Satria Neo berkenaan.
“Sebaik tiba api sedang marak dan kita mengambil masa lima minit untuk mengawal kebakaran. Kita berjaya memadam kebakaran sepenuhnya pada pukul 7.06 petang.
“Mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban bagi rawatan lanjut. Bagaimanapun kenderaan mangsa terbakar 100 peratus,” katanya.
Fuad berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – K! ONLINE