KUALA LUMPUR – Lapan individu mengalami detik cemas apabila terperangkap dalam kebakaran sebuah hotel di Jalan Maharajalela, Kampung Attap di sini pagi tadi.
Bagaimanapun, kesemua mangsa yang terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berjaya diselamatkan dengan bantuan pihak bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.42 pagi.
Katanya, sepasukan 45 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, Pudu, Sentul dan Seputeh bersama jentera masing-masing bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah bilik hotel berkeluasan kira-kira 45 meter persegi di premis bangunan hotel tiga tingkat.
“Ketika anggota sampai, terdapat lapan orang mangsa terperangkap di dalam bangunan iaitu enam lelaki dan dua wanita,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, tiga mangsa telah berjaya diselamatkan melalui tangga dalam bangunan dan dua diselamatkan menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP).
“Tiga lagi mangsa telah berjaya keluar dengan sendiri. Kebakaran dapat dikawal pada jam 12:32 tengah hari dan padam sepenuhnya kira-kira 13 minit kemudian,” jelasnya.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.-K! ONLINE