fbpx

K2

Keseimbangan tona gelap dan terang kediaman PPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEBIJAKSANAAN menggabungkan tona warna gelap dan terang terserlah di kediaman ini.

KEMAS dan cantik. Hanya itu yang mampu diungkapkan tatkala gambar perkongsian sebuah ruang tamu terpampang di skrin komputer peribadi penulis.

Keterujaan penulis untuk melihat setiap sudut di dalam kediaman tersebut semakin membuak-buak apabila menyedari itu merupakan sebuah unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terletak di Kuala Lumpur.

Siapa sangka, pasangan suami isteri ini, Ahmad Fazli Abd. Rahman, 30, dan Nur Rasyidah Roslan, 31, berjaya mengubah kediaman kosong yang hanya berkeluasan 65 meter persegi itu menjadi sebuah ruang yang kelihatan begitu eksklusif.

Menurut Nur Rasyidah yang lebih mesra disapa Eyda ini, kediaman kecil itu mengetengahkan konsep minimalis.

“Konsep minimalis dipilih kerana tidak menggunakan banyak perabot.

“Bukan itu sahaja, konsep ini juga sesuai untuk keluarga yang mempunyai anak-anak kecil, namun berminat untuk membuat dekorasi kediaman mereka,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Menurutnya, biarpun menghuni ruang yang bersaiz kecil, namun itu bukan penghalang buat dia dan suami untuk mengabaikan hal-hal dekorasi kediaman yang dihuni.

“Bagi kami sekeluarga, dekorasi kediaman sangat penting kerana banyak masa diluangkan di rumah.

“Justeru kediaman perlulah sentiasa cantik dan sedap mata memandang. Apa-apa pun, dalam menghias kediaman, keselesaan perlu diutamakan,” katanya.

 

PENCAHAYAAN lampu turut membangkitkan suasana ruang kediaman.

 

Menariknya, kesemua dekorasi tersebut dilakukan berdua bersama suaminya tanpa mengupah pakar hiasan dalaman.

Berbekalkan idea dan inspirasi daripada sebuah kumpulan dekorasi di Facebook, selain ilham yang dikutip setiap kali mengunjungi gedung pameran perabot terkemuka Ikea, Eyda dan suami berjaya merealisasikan dekorasi kediaman yang diimpikan mereka.

Biarpun sekadar menggunakan gabungan dua tona utama iaitu gelap dan terang, namun kediaman yang didiami oleh wanita yang bekerja sebagai pembantu tadbir ini tampak begitu menyerlah.

Malah, penggunaan tona gelap yang diaplikasikan di hampir segenap penjuru ruang langsung tidak menampakkan sisi suram atau sempit unit tersebut, sebaliknya, penuh dengan ciri elegan.

“Kami memang sengaja menggabungkan dua tona warna iaitu terang dan gelap untuk diaplikasikan pada kediaman ini.

“Jika hanya warna gelap yang dipilih, ruang akan tampak terlalu kecil, manakala jika hanya warna terang dipilih, ruang akan kelihatan kosong,” jelasnya.

Justeru, Eyda dan suami memilih untuk menggabungkan dua tona tersebut bagi menyeimbangkan suasana di dalam rumah tersebut.

 

RUANG kecil ini dihias dengan konsep minimalis, namun elegan.

 

Melihatkan keseluruhan ruang, dapatlah disimpulkan bahawa Eyda dan suami bijak memilih perabot dan mempunyai cita rasa yang sangat tinggi.

Selain menerapkan tona warna perabot yang sama dengan palitan warna dinding, Eyda juga tidak menyarati ruang tersebut dengan lambakan perabot.

Sebaliknya, cukup dengan perabot asas seperti sofa, meja kopi dan meja makan.

Bagi menambah seri ruang tersebut, Eyda meletakkan rak hiasan berpotongan minimum selain beberapa pokok tiruan di segenap penjuru ruang yang dapat membangkitkan suasana di dalam ruang tersebut.

Dari segi pencahayaan, ruang itu tampak lebih menyerlah dengan percikan kuning keemasan daripada beberapa lampu hiasan yang tergantung di siling kediaman.

Menurut Eyda, dia tidak mengambil masa yang panjang untuk membuat dekorasi.

Sebaliknya dekorasi itu dilakukan ketika waktu terluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sekitar pertengahan Mac lalu.

Biarpun ringkas, namun auranya tersendiri dan cukup membuatkan sejuk setiap mata yang memandang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI