LISBON – Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone mengakui RB Leipzig layak melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara selepas pasukannya tewas 1-2 kepada pasukan itu pada aksi suku akhir awal pagi semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Jose Alvalade itu, Leipzig mengejutkan Atletico menerusi jaringan Daniel Olmo dan Tyler Adams sementara gol pasukan La Liga itu dijaringkan Joao Felix.
Meskipun kecewa dengan kekalahan itu, namun Simeone tetap bangga dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan skuad kendaliannya sepanjang perlawanan tersebut.
“Kami sudah berikan segala-galanya pada perlawanan ini. Saya akui sukar untuk kami bersaing dengan Leipzig kerana mereka lebih pantas daripada kami.
“Saya akui kami sedikit tertekan selepas hampir 60 hari tidak beraksi. Kami gagal untuk menampilkan aksi seperti yang dimahukan dan tidak ada alasan lain atas kekalahan ini,” kata Simeone.
Pada masa sama, pengendali dari Argentina itu memuji barisan pemainnya kerana berjaya membawa Atletico ke suku akhir selain mengucapkan tahniah kepada Leipzig.
“Saya puji usaha semua pemain yang sudah bekerja keras untuk membawa kami ke peringkat ini. Leipzig berhak untuk ke separuh akhir, jadi tahniah kepada mereka,” ujarnya. – AGENSI