KUALA LUMPUR – Bekas juara remaja Asia, Leong Jun Hao menepati ramalan apabila berjaya mengesahkan tempat ke pentas final Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menentang Ng Tze Yong di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara esok.
Kejayaan itu hadir selepas Jun Hao, 21, berjaya mencatat kemenangan 21-13, 21-16 ke atas Lim Chong King pada pusingan terakhir peringkat liga sepusingan Divisyen 1 petang tadi.
Pemenang pingat perak perseorangan lelaki Kejohanan Remaja Dunia 2017 itu mengakui, dia bakal menghadapi satu pertarungan sengit berdepan Tze Yong meskipun pernah menewaskan lawan tersebut dengan keputusan straight set 21-17, 21-15 semalam.
“Saya sebenarnya langsung tak jangka dapat ke final kejohanan ini. Saya percaya esok akan menjadi satu perlawanan yang sengit antara saya dengan Tze Yong,” katanya.
Pemain dari Setapak, Kuala Lumpur itu memanfaatkan sepenuhnya ketiadaan tiga pemain senior negara, Lee Zii Jia, Liew Daren dan Soong Joo Ven yang terpaksa menarik diri kerana mengalami kecederaan sebelum ini.
Tze Yong berjaya menempah slot ke pentas final pada saat-saat akhir selepas menewaskan Aidil Soleh Ali Sadikin 21-19, 21-18 apabila terpaksa bersaing sengit dalam tempoh 45 minit.
“Saya terlalu mahukan kemenangan sehingga memberi tekanan kepada diri sendiri pada hujung perlawanan tetapi dia (Aidil Soleh) juga banyak melakukan kesilapan mudah hari ini.
“Jurulatih juga berpuas hati dengan prestasi saya kerana berjaya mengawal perlawanan dan tekanan dengan baik,” jelas Tze Yong. – K! ONLINE