KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut apabila kepalanya tersepit pada dahan pokok dalam satu kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rawang, Sepang dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Puiman Semin, 54, ditemui tergantung pada ketinggian tiga meter ketika sedang mengambil upah memotong dahan pokok berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, pihak menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.38 pagi.
Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sepang bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan itu.
“Anggota tiba di lokasi 10 minit kemudian dan mendapati mangsa masih berada di atas pokok dan kepalanya tersepit pada dahan.
“Anggota kemudiannya bertindak membawa mangsa turun sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Tambah Hafisham, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan telah diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.-K! ONLINE.