SELEPAS tiga bulan meninggalkan LIMITLESS, penyanyi Yoon Hee-seok membuat pendedahan mengejutkan mengenai punca sebenar pengunduran daripada kumpulan itu.
Menerusi Instagramnya, Hee-seok mendakwa telah melalui fasa sukar sepanjang bersama kumpulan LIMITLESS kerana berasa terasing dan dibuli secara lisan akibat salah faham sesama sendiri.
“Saya cuba memperbaiki hubungan tetapi tidak berjaya. Saya tinggal bersendirian di bilik penginapan dan tiada sesiapa untuk berkongsi masalah.
“Beberapa kali saya sudah maklumkan kepada majikan tetapi dia tidak pernah dipedulikan. Dia pernah mengugut untuk tamatkan kontrak saya selepas tamat konsert LIMITLESS pada Disember tahun lalu,” katanya.
Disebabkan menerima layanan tidak adil daripada majikan, Hee-seok mengakui dia ada mengambil pil tidur setiap malam selain menghidap depresi, serangan panik dan kegusaran.
“Disebabkan tertekan, saya akhirnya ambil keputusan keluar daripada kumpulan dan umumkannya menerusi media sosial.
“Tetapi kenyataan saya didakwa bohong dan fitnah.
“Saya cuba bertahan demi memikirkan kebahagiaan orang lain tetapi sukar. Saya minta maaf kerana terpaksa mendedahkan perkara ini kepada keluarga yang banyak menyokong karier saya,” tulisnya lagi.
Memberi maklum balas terhadap kenyataan Hee-seok, agensi ONO Entertainment menyatakan bahawa perselisihan pendapat menjadi punca utama dia meninggalkan LIMITLESS.
“Ada kenyataan yang tidak benar dalam pendedahan Hee-seok.
“Kami akan ambil tindakan undang-undang terhadap sebarang maklumat yang salah berkaitan kes ini,” tulis agensi itu.