fbpx

K2

Revolusi pesawat elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PESAWAT e-Caravan ini dibangunkan oleh syarikat AeroTEC dan magniX.

SEBAIK pesawat komersial itu berjaya terbang di ruang udara, orang ramai yang berada di situ bersorak dan bertepuk tangan.

Mereka yang ketika itu berada di sebuah lapangan terbang yang dikelilingi ladang di tengah Washington, Amerika Syarikat (AS) telah menyaksikan satu kejayaan baharu dalam industri penerbangan apabila pesawat elektrik itu berjaya terbang di udara pada Mei lalu.

Pesawat yang dinamakan e-Caravan itu mencipta sejarah sebagai pesawat elektrik terbesar di dunia kerana merupakan sejenis pesawat komersial. Pesawat sepanjang 11.46 meter itu berjaya terbang selama 30 minit sejauh 160 kilometer (km) dengan tenaga elektrik sepenuhnya.

Pesawat Cessna Caravan 208B yang pada asalnya mampu membawa maksimum sembilan penumpang telah diubah suai dengan hanya membina tempat duduk untuk juruterbang bagi penerbangan ujian itu.

Dua syarikat AS iaitu AeroTEC dan magniX menjadi entiti yang bertanggungjawab melakar sejarah baharu menerbangkan pesawat elektrik tersebut.

Penerbangan sulung dengan menggunakan kuasa elektrik itu mencapai kelajuan 183 kilometer sejam. Ini satu kejayaan yang besar apabila sebuah pesawat komersial mampu diterbangkan dengan kuasa elektrik.

Syarikat magniX yang bertanggungjawab membangunkan enjin elektrik untuk pesawat tersebut berharap pesawat dengan kuasa elektrik itu dapat memasuki pasaran komersial pada akhir tahun 2021 dan mempunyai jarak penerbangan sejauh 160 kilometer.

Ketua Eksekutif magniX, Roei Ganzarki dalam satu kenyataan berkata, penerbangan pesawat Cessna Caravan itu menggunakan elektrik yang hanya menelan kos sebanyak AS$6 (RM25) selama 30 minit.

“Sekiranya kami menggunakan bahan bakar konvensional bagi tempoh penerbangan yang sama, kosnya berharga antara AS$300 (RM1,200) hingga AS$400 (RM1,700).

“Kejayaan penerbangan ini membuktikan bahawa perjalanan udara dengan menggunakan pesawat berkuasa elektrik komersial yang murah, mesra alam akan mampu dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Cessna Caravan ialah pesawat yang sering digunakan untuk penerbangan jarak pendek dan pada masa ini dianggarkan terdapat lebih 2,600 pesawat itu yang digunakan di 100 buah negara.

Bagi pesawat versi elektrik itu, ia dibangunkan menggunakan sistem penggerak magni500 dengan 750 kuasa kuda (560kW).

Ganzarki berkata, motor elektrik juga lebih ringan dan tidak memerlukan banyak penyelenggaraan. Ia bertahan lebih lama sebelum perlu diganti berbanding enjin yang menggunakan bahan bakar fosil.

MOTOR elektrik yang dibangunkan untuk e-Caravan lebih ringan dan tidak memerlukan banyak penyelenggaraan.

Tambahnya, selagi elektrik dihasilkan secara bersih, pesawat elektrik tidak menghasilkan pelepasan karbon di atmosfera.

“Penerbangan pertama ini merupakan satu tonggak penting dalam industri pengangkutan udara, sekali gus mempercepat revolusi penerbangan elektrik.

“Tujuan utama magniX adalah untuk menghubungkan komuniti dan membawa masuk sistem elektrik ini ke dalam pasaran, sekali gus menawarkan kos operasi yang lebih rendah dan pelepasan sifar pencemaran di udara,” jelasnya.

Bateri

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AeroTEC, Lee Human berkata, beliau berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh jurutera, juruteknik dan pasukan ujian penerbangan dalam merealisasikan dan menjadi perintis menghasilkan pesawat elektrik komersial.

“Ini adalah sempadan baharu dan AeroTEC berada di barisan depan untuk mengembangkan proses dan yang akan membuka jalan bagi perkembangan penerbangan pesawat elektrik,” katanya.

Cessna Caravan akan menjalani beberapa proses pengujian yang lebih baik di udara dan di lapangan terbang, sebelum pihak berkuasa penerbangan negara itu meluluskannya.

Dalam pada itu, kelemahan utama pesawat elektrik adalah jarak penerbangannya yang terhad dan bergantung kepada kapasiti bateri yang digunakan. Ini bermakna pesawat elektrik hanya dapat membuat penerbangan jarak dekat.

Cessna Caravan yang menggunakan bahan bakar fosil sebenarnya mampu terbang sehingga 2,400 kilometer berbanding enjin elektrik yang hanya mempunyai jarak sejauh 160 km.

Bateri yang lebih baik untuk kegunaan pesawat elektrik juga sedang dibangunkan.

Saintis dari Universiti California, Shirley Meng berkata, pasukannya sedang mengusahakan reka bentuk bateri baharu.

Katanya, bateri ion litium komersial menyimpan elektrik sekitar 250 watt sejam.

“Tetapi reka bentuk baharu dijangka dapat menggandakannya dalam beberapa tahun lagi. Bagaimanapun, ini bergantung kepada seberapa cepat kilang mampu membuatnya.

“Kami tidak memiliki kemampuan produksi besar-besaran. Saat ini kami mampu mencapai 400 wh,” katanya.

Dalam pada itu, agensi berita Reuters turut melaporkan, pertubuhan yang terkenal dengan misi penerokaan angkasa iaitu Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) turut terlibat dalam menghasilkan pesawat elektrik.

Pada November lalu, NASA mendedahkan pesawat elektriknya iaitu X-57 Maxwell di makmal aeronautiknya yang terletak di California, Amerika Syarikat.

Projek yang dibangunkan sejak tahun 2015 itu menggunakan pesawat kipas kembar Tecnam P2006T buatan Itali yang diubah suai dikatakan memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun lagi bagi melakukan ujian pertama.

Namun, setelah dua daripada 14 motor elektriknya dipasang, NASA memutuskan pesawat itu sudah boleh dipamerkan kepada orang ramai. Motor elektrik yang dipasang itu dijana dengan kuasa bateri ion litium yang direka khas.

Menurut NASA, cabaran dihadapinya adalah untuk memperbaiki teknologi bateri supaya dapat menyimpan lebih banyak tenaga dan dapat dicas lebih pantas agar pesawat berupaya terbang lebih jauh.

Pesawat berkuasa elektrik juga dibangunkan di tempat lain di dunia termasuk Britain.

Pada November lalu, Cranfield Aerospace Solutions (CAeS) yang berpangkalan di Britain menyatakan mereka sedang membangunkan pesawat elektrik dan menganggarkan bahawa penerbangan komersial dengan menggunakan pesawat itu akan bermula seawal tahun 2023.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, projek tersebut mendapat biayaan geran sebanyak AS$11.7 juta (RM50 juta) daripada kerajaan Britain dan CAeS merupakan anak syarikat Universiti Cranfield.

Pasukan pakar CAeS berusaha untuk mengintegrasikan sistem pendorong elektrik-hibrid pada pesawat ringan Britten Norman yang mempunyai sembilan tempat duduk.

Jurucakap CAeS menjelaskan kepada agensi berita CNN bahawa pesawat itu akan berlepas dan terbang pada jarak pendek menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya.

Pesawat itu sendiri akan dihasilkan oleh pengeluar Britain, Britten-Norman, manakala sistem pengurusan kuasa kenderaannya akan dibekalkan oleh syarikat pemotoran, Rolls-Royce.

NASA kini turut berusaha menghasilkan pesawat elektrik, X-57 Maxwell.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI