KLANG – Seorang penganggur yang menyamar dengan gelaran Datuk didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini atas empat pertuduhan termasuk dua daripadanya menipu dan memperdayakan mendapatkan darjah kebesaran Mahkota Pahang pada 10 Jun hingga 13 Julai tahun ini.
Tertuduh, V.Vicknes, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail dan Majistret Roslizi Sulaiman.
Bagi dua pertuduhan di hadapan Majistret Solehah, Vicknes yang menggelar dirinya ‘Datuk Naresh’ didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 59 tahun bagi menguruskan biasiswa pengajian dua anaknya dan urusan darjah kebesaran Mahkota Parang dengan nilai keseluruhan 12,200 yang dimasukkan akaun milik tertuduh.
Selain itu, bapa kepada seorang anak itu turut dituduh bagi penawaran kenderaan istana Pahang sehingga mendorong mangsa memindahkan wang RM57,450 ke dalam empat akaun berasingan milik Vicknes.
Ketiga-tiga perbuatan itu dilakukan tertuduh di Taman Berkeley dan Bandar Baru Klang di antara 10 Jun hingga 13 Julai tahun ini.
Vicknes yang tidak diwakili peguam juga didakwa di hadapan Majistret Roslizi kerana memperdayakan seorang lagi lelaki berusia 61 tahun sebanyak RM11,500 yang dimasukkan ke akaun milik individu lain bagi menguruskan darjah kebesaran Mahkota Pahang.
Kesalahan itu dilakukan di Taman Berkeley antara 15 Jun hingga 1Julai tahun ini.
Justeru, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda sekiranya disabitkan kesalahan bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj dan Ermadieyani Ismadi.
Pada kedua-dua prosiding itu, tertuduh memohon jaminan dikurangkan susulan dia dan isterinya tidak bekerja selain perlu menyara seorang anak dan ibu.
Majistret Solehah kemudiannya menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin daripada ahli keluarga, pasport diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri setiap bulan di balai bolis berhampiran.
Manakala, Majistret Roslizi menetapkan tertuduh dijamin RM4,000.
Tarikh sebutan bagi kedua-dua kes ditetapkan pada 21 dan 30 September hadapan. -K!ONLINE