fbpx

Peguam mohon KPN maafkan Asri Janggut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Asri meninggalkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira pukul 1 tengah hari bagi menunaikan solat Jumaat. Foto oleh FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Peguam Datuk Shaharudin Ali berharap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berbesar hati untuk memaafkan anak guamnya, Mohd. Asri Hamid atau Asri Janggut.

Shaharudin berkata, Mohd. Asri telah pun menerima surat rasmi daripada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Affendi Buang memaafkan anak guamnya.

“Saya baca surat rasmi tu dan jelas dikatakan perkara ini mungkin satu kesilapan dan kedua-dua pihak mengambil iktibar serta saling memaafkan.

“Saya bagi pihak Mohd. Asri memohon jasa baik KPN untuk berbesar hati melakukan perkara yang sama seperti Panglima ATM,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Terdahulu, beliau dan seorang lagi peguam Mohd. Asri, Ahmad Amzar Ahmad Azlan menemani pengasas Hot Burger Malaysia itu memberi keterangan kepada pihak polis pagi ini.

Mohd. Asri, 42, tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 10.25 pagi sebelum keluar kira-kira pukul 12.45 tengah hari untuk menunaikan solat Jumaat.

Beliau yang disiasat dibawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dikehendaki kembali ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pukul 3 petang ini untuk disambung memberi keterangan.

Baru-baru ini satu klip video berdurasi 31 saat memaparkan Asri Janggut dalam satu sidang media mendakwa anggota polis dan tentera tidak menjaga solat.

Shaharudin berkata, isu yang timbul berhubung kenyataan Mohd. Asri itu bukan perkara besar, sebaliknya bertujuan mengingatkan umat Islam supaya menjaga solat.

Kata beliau, pengasas Hot Burger Malaysia itu mungkin telah menggunakan perkataan yang tidak sesuai dalam menyampaikan niat baiknya sehingga dipandang serong.

“Mohd. Asri memberi keterangan bermula pukul 11.10 pagi dan soal jawab yang berlangsung dengan begitu baik dan profesional selesai kira-kira satu setengah jam kemudian,” kata Shaharudin.

Dalam pada itu, Shaharudin memaklumkan sedang memerhati tindak tanduk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) termasuk kenyataan-kenyataan yang dibuat tentang Mohd. Asri.

Menurut beliau, tindakan yang sewajarnya akan diambil jika MBSA didapati melampaui batas undang-undang.

Sementara itu, Mohd. Asri berkata, beliau berharap peniaga-peniaga kecil di Sungai Buloh yang dikenakan tindakan oleh MBSA supaya bersabar.

“Sungai Buloh hari ini bebas pusat judi yang telah bertahun bertapak di situ. Mungkin satu pengajaran untuk kita dan Allah mahu gantikan dengan yang lebih baik,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI