Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
MELAKA – Tindakan luar batasan seorang anak yang mengugut bunuh ibunya Selasa lalu terbalas apabila dihukum denda RM3,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap S. Anthony Zachary, 46 yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Tertuduh yang masih bujang dan tidak mempunyai pekerjaan itu mengaku salah mengugut bunuh ibu kandungnya S. Mary Grace, 67.
Kejadian berlaku di rumah beralamat No 34, Jalan Bayan 12 Taman Bukit Katil, Melaka pada pukul 8.30 pagi 11 Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan ugutan jenayah dengan mengatakan jika mahu hubungi polis atau hantar ke hospital saya akan bunuh kamu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh merayu hanya dikenakan denda dan tidak dipenjara kerana tidak bermaksud mahu membunuh ibunya dan dalam keadaan tertekan ketika kejadian.
Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana mangsa adalah ibu kandung tertuduh.
Muhammad Nazrin kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda.
Sementara itu, dalam mahkamah berasingan, seorang penganggur, Kamaluddin Lukman, 25, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengugut untuk membunuh bapa dan abang kandungnya, 11 Ogos lalu.
Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
Mengikut pertuduhan didakwa menakutkan secara jenayah berbentuk ugutan secara lisan mengeluarkan kata-kata ‘aku potong kamu semua’ sambil menghayunkan parang kepada bapa kandung Lukman Mydin, 54, dan abang kandungnya Kamaruddin Lukman, 25.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah bernombor 7, Jalan Jasa Merdeka 26, Taman Dato Tamby Chik Karim, Batu Berendam, Melaka kira-kira pukul 3.30 petang 11 Ogos lalu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Raudhah Mazman.
Mohamad Izwan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan syarat tambahan penjamin adalah bapa atau abangnya dan menetapkan 9 September ini untuk sebutan semula kes.-K! ONLINE