Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU – MCA dengan kerjasama Persatuan Perniagaan India Johor (JIBA) menyediakan peluang padanan pekerjaan khususnya kepada orang ramai yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19 ketika ini.
Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, kerjasama itu turut menyediakan peluang latihan bagi mereka yang mahu meneroka kerjaya dalam bidang baharu.
Katanya, pihaknya menyasarkan untuk menerima lebih daripada 1,000 permohonan menerusi platform ini dalam tempoh beberapa bulan.
“Akibat pandemik Covid-19 ketika ini, ramai orang terkesan dan kehilangan pekerjaan, termasuklah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sebelum ini.
“Kini kami menyediakan satu saluran kepada orang ramai untuk cuba mendapatkan pekerjaan baharu, sama ada dalam sektor sama atau sektor berlainan berbanding pekerjaan mereka terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya di Jalan Maju, di sini hari ini.
Chee Boon turut memberitahu, orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat menerusi laman Facebook Pandemic Task Force atau kunjungi pejabat JIBA.
Antara latihan yang disediakan melalui kerjasama ini melibatkan empat sektor pekerjaan iaitu perkhidmatan, kesihatan, industri kecil dan sederhana serta teknologi maklumat.-K! ONLINE