Oleh NORLIA RAMLI
BALING – Lebih 300 penduduk di empat buah kampung di Mukim Tawar di sini membuat saringan Covid-19 bagi Kluster Tawar di Klinik Kesihatan Tawar di sini hari ini.
Empat kampung terlibat adalah Kampung Baru, Taman Sheikh Fadzir, Pekan Tawar dan Kampung Naga Belakang Sekolah Cina.
Tinjauan mendapati penduduk dilihat mula hadir membuat saringan di klinik kesihatan tersebut sejak pukul 8 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pemantauan akan terus dilakukan di empat kampung tersebut termasuk memastikan penduduk yang mempunyai kontak rapat atau kaitan dengan kluster berkenaan membuat saringan.
“Setakat ini kita belum menerima arahan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) yang mana keadaan pada ketika masih terkawal,” katanya ketika ditemui di klinik kesihatan tersebut di sini hari ini.
Beliau pada masa sama menasihati semua penduduk di Baling terutama dalam Mukim Tawar agar mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) termasuk menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan fizikal.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Baling, A. Maniwill, 54, berkata, penduduk yang diarahkan untuk melakukan saringan agar berbuat demikian dengan segera.
“Bagi penduduk yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah, kita akan menghulurkan bantuan makanan dari semasa ke semasa bagi meringankan beban mereka,” katanya.-K! ONLINE