Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menerima bilangan pesakit berbayar yang tinggi bagi mendapatkan perkhidmatan fasiliti Kementerian Kesihatan di seluruh negara dengan jumlah sebanyak 37.48 juta tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, bagi tahun ini, fasiliti Kementerian Kesihatan menerima seramai 12.74 juta pesakit setakat Jun lalu.
Katanya, dengan jumlah kehadiran pesakit semakin bertambah dan memerlukan proses pendaftaran lebih cekap dan berkualiti.
Justeru, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Paynet melancarkan Kempen Pembayaran Dengan Kad ATM MyDebit di hospital dan klinik kesihatan bertujuan memberi kesedaran kepada orang awam mengenai penggunaan kad debit di fasiliti kementerian itu.
“Kempen ini adalah sebahagian insiatif kerajaan dalam mempergiatkan penggunaan kad debit bagi urusan kaunter fasiliti Kementerian Kesihatan.
“Diharapkan menerusi sistem bayaran MyDebit, berjuta-juta pesakit Kementerian Kesihatan dapat mengelakkan risiko jangkitan penyakit termasuk Covid-19,” katanya pada majlis perasmian kempen itu di sini hari ini.
Adham berkata, teknologi digital yang pantas dan mudah sejajar dengan usaha membendung pandemik Covid-19 serta Kempen Pembudayaan Norma Baharu Dalam Komuniti dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lalu.
Katanya, kempen tersebut dianjurkan selama enam bulan bermula 1 Julai hingga 31 Disember di kaunter hospital kerjaan dan klinik kesihatan yang terpilih.
Menerusi kempen itu, tiga pemegang kad ATM MyDebit berpeluang memenangi hadiah motosikal Yamaha Y15ZR dan 50 pemegang lagi berpeluang memenangi hadiah berupa wang tunai RM100. -K! ONLINE