Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Ahli keluarga Anna Jenkins, 65, memohon pihak polis menjalankan siasatan secara telus berhubung kematian wanita warga Australia itu di negeri ini.
Anak lelakinya, Greg Jenkis, 40, berkata, pihaknya merayu kerjasama daripada pasukan polis susulan keputusan positif hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang diterimanya minggu lalu.
“Kami mahukan keadilan atas kematian ibu saya selepas penemuan tulang dan barangan peribadinya.
“Ini kerana banyak persoalan yang belum terjawab tentang kehilangan ibu saya pada 13 Disember 2017sehinggalah penemuan tulang dan barangan peribadi miliknya Jun lalu,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini sebentar tadi.
Terdahulu, Greg telah mendapatkan khidmat guaman daripada Firma Guaman Raveen yang berpangkalan di Gelugor di sini bagi menuntut pembelaan atas kematian ibunya yang hampir tiga tahun lalu.
Peguam, S. Raveentharan memberitahu, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lengkap susulan penemuan tulang milik Jenkins sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
“Beri masa kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara terperinci termasuk mengumpul bukti penemuan tulang milik wanita warga Australia,” jelasnya.
Pada 11 Ogos lalu, polis Pulau Pinang mengesahkan penemuan tulang pinggul manusia yang ditemui di kawasan hutan tepi Race Course, Jalan Batu Gantung di sini pada 24 Jun lalu sah milik Jenkins.
Hasil perbandingan DNA terhadap sampel tulang manusia dan anak lelaki wanita terbabit menunjukkan keputusan positif.
Pada 14 Disember 2017, polis telah menerima satu laporan kehilangan Jenkis, oleh suaminya setelah mendapati wanita terbabit tidak pulang ke bilik hotel selepas mendapatkan rawatan pergigian di Pulau Tikus sehari sebelum itu.
Bagaimanapun, pada 24 Jun lalu, seorang lelaki telah menjumpai longgokan baju dan satu objek seperti seketul tulang semasa membuat kerja-kerja lanskap di kawasan hutan, Jalan Batu Gantung lalu membawanya ke Balai Polis Kampung Baru sehari kemudian. – K! ONLINE