KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menerima penajaan jersi baharu untuk tiga pasukan skuad The Red Warriors (TRW) untuk mengharungi baki saingan Liga Premier, Piala Presiden dan Liga Belia musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penajaan Kafa, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, pihaknya menerima tajaan jersi tersebut daripada sebuah syarikat penajaan dan pemasaran tempatan iaitu Stechmad Sdn.Bhd. (Stechmad) selama setahun.
Katanya, bagaimanapun jumlah tajaan daripada syarikat itu masih dalam peringkat rundingan dan Kafa akan memaklumkan jumlah tajaan jersi kepada pasukan dalam tempoh terdekat.
“Selepas pembekal tajaan jersi terdahulu menarik diri, kita terus berusaha untuk mencari penajaan baharu. Kita memperoleh tajaan daripada Stechmad dalam tempoh yang singkat.
“Penajaan jersi ini mampu meningkatkan moral pemain skuad TRW untuk mengharungi baki saingan Liga Premier musim ini yang dijangka berlangsung pada 22 Ogos depan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Jersi Baharu TRW di sebuah hotel di sini hari ini.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan pembekal pakaian rasmi skuad Kelantan, PUC Sport menarik diri daripada menaja pasukan Kelantan pada 5 Ogos lalu.
Keputusan drastik itu diambil PUC Sport berikutan kekangan kewangan dihadapi oleh syarikat tersebut selain faktor penjualan jersi skuad Kelantan tidak mencapai sasaran ditetapkan.
Selain itu, PUC Sport juga terpaksa berundur susulan perniagaan syarikat mengalami kerugian disebabkan pandemik Covid-19 dan tiada bantuan dari pihak Kafa untuk bersama-sama melariskan penjualan jersi.
Sementara itu, Ahmad Muzakkir berkata, selepas pengunduran syarikat itu, pihaknya berusaha sedaya upaya menghubungi syarikat lain yang berpotensi untuk menaja skuad TRW.
“Ini merupakan satu gambaran positif kepada Kafa dan pasukan Kelantan khususnya. Kita bekerja keras untuk mencari penaja untuk pasukan Kelantan.
“Setakat ini, harga untuk jualan jersi kepada peminat masih belum ditetapkan. Kita akan mengadakan perbincangan dengan pihak Stechmad berhubung perkara itu dan ia akan diumumkan kelak,” katanya. – K! ONLINE