SHAH ALAM – Sebanyak 162 notis kesalahan dikeluarkan kepada pemilik dan pekerja premis dalam operasi bersepadu premis makanan di Kuala Langat dan Hulu Selangor di sini semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, pengeluaran notis itu hasil pemeriksaan terhadap 144 buah restoran dan kedai makanan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan, Jabatan Kesihatan negeri dengan kerjasama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor.
Katanya, pihaknya juga mengeluarkan kompaun bernilai RM91,500 mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Hasil pemeriksaan juga telah mengarahkan 19 premis makanan ditutup masing-masing 11 mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan selebihnya lapan atas kesalahan tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibawah Seksyen 18 (1)(f), Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Kesemua premis itu diberikan tempoh 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan premis yang tidak mematuhi SOP PKPP diarah tutup selama tujuh hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut memberitahu, dalam operasi disertai 129 pegawai kesihatan dari seluruh negeri melakukan operasi yang turut disertai anggota daripada Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia itu juga mengeluarkan sembilan notis kesalahan kerana telah merokok di premis makanan.
Ujarnya, kompaun yang dikeluarkan bernilai RM2,250 mengikut Peraturan- Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
“Operasi ini akan terus dilakukan bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan serta orang ramai mematuhi peruntukan dibawah Akta Makanan Dan Peraturan-peraturan Makanan.
“Ini adalah bagi memastikan pelanggan mendapat makanan yang selamat selain perlu patuh terhadap SOP PKPP supaya dapat membendung dan memutuskan penularan Covid-19,” katanya. – K! ONLINE