AKTOR pengalaman menjadi taruhan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menjelang dua perlumbaan yang akan berlangsung di Litar Red Bull Ring bermula dengan Grand Prix (GP) Austria hujung minggu ini.
Hafizh yang pernah menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10 di litar sama pada 2017 menyuarakan hasratnya untuk menampilkan tunggangan lebih baik berbanding tiga perlumbaan sebelum ini.
Pelumba pasukan Inde Aspar itu telah mempamerkan aksi cemerlang setakat ini apabila menamatkan dua perlumbaan terdahulu dalam kelompok 10 teratas.
Pelumba berusia 26 tahun itu berkata, dia sedia untuk tampil lebih kompetitif pada GP Austria dan mengekalkan prestasi itu menjelang GP Von Styria di litar sama 23 Ogos depan.
“Saya harap boleh perbaiki tunggangan saya dan tampilkan aksi lebih kompetitif di GP Austria.
“Saya sangat sukakan litar ini. Ketika tahun terakhir dalam Moto2 pada 2017, saya catat keputusan yang sangat baik, jadi saya mahu harungi dua perlumbaan di Austria dengan positif,” kata Hafizh.
Sebaik dua perlumbaan di Litar Red Bull Ring berakhir, saingan MotoGP 2020 akan beralih ke Litar San Marino yang turut menjadi venue dua perlumbaan, GP San Marino dan GP Riviera Di Rimini.
Bagi saingan Moto2, pelumba pasukan Italtrans Racing, Enea Bastianini muncul pendahulu dengan 73 mata diikuti pelumba pasukan Sky Racing, Luca Marini (58 mata) manakala Tetsuta Nagashima (Red Bull KTM Ajo) ketiga dengan 55 mata.