Jarang sekali penyanyi baharu pada zaman sekarang mengetengahkan konsep islamik sebagai jalur muzik mereka, namun perkara tersebut dilakukan oleh kumpulan duo baharu, The Truth.
Mengambil pendekatan untuk berdakwah dalam muzik, The Truth sedar bahawa cabaran utama yang perlu dihadapi ialah untuk menembusi aliran muzik arus perdana pada masa kini.
Lambakan lagu
cinta di pasaran ketika ini juga antara faktor mengapa The Truth berani untuk memecahkan
stereotaip tersebut, namun mereka enggan dilabelkan sebagai kumpulan nasyid tipikal.
Tidak menoleh kebelakang, The Truth yang dianggotai oleh Muhammad Naufal Muhammad Isa, 21, dan Irwan Fariz, 22, nekad melangkah sehingga berjaya melancarkan klip muzik single terbaharu, Cinta Sementara pada bulan lalu.
Menurut Irwan, Cinta Sementara bukanlah sebuah lagu nasyid, sebaliknya merupakan karya berentak balada tetapi sarat mesej positif.
“Cinta Sementara merupakan hasil ciptaan sepenuhnya Akmal Mustafa. Lagu itu berkisarkan kehidupan manusia yang terlalu mengejar cinta dunia sehingga terlupa terhadap cinta hakiki iaitu cinta Ilahi.
Nafas baharu
“Jika mendengar lagu ini, tidak dinafikan ada bunyi seperti lagu nasyid biasa tetapi kami memberi nafas baharu daripada segi susunan lagu supaya tidak terlalu mendayu-dayu,” kata pemegang Diploma Pengajian Islam dari Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak itu.
Tambahnya: “Kekuatan lagu ini terletak dalam lirik dan susunan muziknya. Bagi saya, liriknya sangat segar.
“Apa pun, kami sangat bersyukur kerana klip muzik Cinta Sementara telah mencapai lebih 460,000 tontonan dalam akaun YouTube rasmi Tarbiah Sentap. Tidak sangka sebenarnya tetapi harapnya objektif utama kami untuk berdakwah sampai kepada pendengar.
“Kami juga anggap sambutan baik terhadap Cinta Sementara ini satu permulaan yang bagus dan akan lebih berusaha untuk menghasilkan lagu-lagu lebih berkualiti, sekali gus dapat mengangkat kembali muzik nasyid di Malaysia,” ujarnya.
Berbicara lanjut tentang penyampaian dakwah menerusi lagu, Naufal memberitahu, The Truth akan menyebarkan perkara baik serta positif menerusi muzik mereka termasuklah bergenre K-pop atau rock.
“Niat kami ingin menyampaikan dakwah dan mesej positif kepada semua. Bagi kami, bukan semua boleh menerima nasihat untuk berubah dan ada yang dengar lagu, terus tergerak hati hendak berubah. Sebab kami percaya hidayah Allah SWT boleh datang dengan pelbagai cara.
“Lagu-lagu nyanyian semula kami sebelum ini termasuklah lagu K-pop seperti lagu kumpulan Bangtan Boys (BTS) dan lagu barat yang rentaknya pop tetapi kami alih menjadi bahasa Melayu dan beri lirik berunsur dakwah.
“Dakwah tidak semestinya menerusi lagu nasyid sahaja,” tutur anak ketiga daripada empat orang adik-beradik itu.
Tambah Naufal, dia dan Irwan juga sudah mempersiapkan mental sekiranya terdapat kecaman dan kritikan yang dilemparkan kepada The Truth.
“Jadi semuanya akan kembali kepada niat asal kami iaitu ingin menyebarkan kebaikan. Biarlah apa orang kata, kami akan hadam dan terima semua kata-kata itu.
“Justeru, benda yang paling penting ialah muzik The Truth menjadi asbab kebaikan dan perubahan kepada pendengar kami.
“Itu yang kami ingin capai iaitu menjadi hamba yang bersama-sama mengajak ke kebaikan,” ujarnya menutup perbualan.