KUALA LUMPUR – Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd. Asri Hamid atau Asri Janggut, 42, tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira pukul 10.25 pagi ini.
Beliau dipanggil pihak polis bagi memberi kenyataan berhubung isu menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau yang tiba menaiki kereta jenis Honda Accord warna putih diiringi peguam Ahmad Amzar Ahmad Azlan.
Semalam, polis memaklumkan Mohd. Asri akan dipanggil untuk diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ.
Siasatan dijalankan selepas dua laporan polis dibuat di Balai Polis Travers dan Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador kelmarin menyifatkan dakwaan Mohd. Asri bahawa anggota PDRM tidak menjaga solat sebagai keterlaluan.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Baru-baru ini satu klip video berdurasi 31 saat memaparkan Asri Janggut dalam satu sidang media mendakwa anggota polis dan tentera tidak menjaga solat. – K! ONLINE