KUALA LUMPUR – Harga siling pelitup muka akan diturunkan kepada RM1.00 seunit di peringkat runcit manakala 95 sen di peringkat pemborong bermula 15 Ogos ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ia adalah sebahagian daripada pendekatan untuk membantu rakyat, khususnya ibu bapa yang perlu membekalkan pelitup muka untuk anak mereka ke sekolah.
Katanya, harga semasa pelitup muka mungkin akan terus diturunkan lagi namun mengambil langkah berjaga-jaga dalam menurunkan harga maksimum pelitup muka ke paras yang lebih rendah.
“Kalau turun lagi, kita menyasarkan turun kepada harga asal balik iaitu RM0.80 sen namun kita kena tengok berdasarkan situasi dan kualiti. Kalau boleh dapat RM0.70 lagi bagus.
“Kita kena ambil kira pengilang bagaimana untuk mereka mengeluarkan kepada runcit adakah bekalannya akan sentiasa ada dan berkualiti jika kita turunkan namun apa yang penting, kita bersedia untuk turunkan lagi kepada paras harga yang lebih rendah pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita dalam bilik media di bangunan Parlimen, hari ini. – K! ONLINE