fbpx

K2

Menonton wayang ditemani bintang-bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CASUARINA Sini-Drive boleh memuatkan sebanyak 70 buah kenderaan pada satu masa.

SATU per satu kenderaan yang dipandu perlahan bergerak masuk ke kawasan parkir yang ditanda dengan garisan putih. Sambil memegang baton cahaya pandu arah, beberapa orang petugas membantu pemandu meletakkan kenderaan secara lurus mengikut tanda garisan.

Cahaya limpah yang menerangi kawasan tersebut pula menampakkan dengan jelas setiap individu yang berada dalam kenderaan masing-masing. Kebanyakan pengunjung kelihatan teruja termasuk anak-anak di dalam kenderaan.

Jam menunjukkan pukul 9.30 malam. Serentak itu, layar kaca berukuran 1.8 x 5.4 meter di satu ruang tumpuan yang sebelum itu menunjukkan iklan produk-produk pelancongan tempatan bertukar gelap lalu tayangan filem pun bermula.

Pengalaman menonton wayang dalam kenderaan seperti yang sering dipaparkan dalam filem atau televisyen di negara Barat kini boleh dirasai apabila pawagam pandu masuk yang diberi nama Casuarina Sini-Drive mula beroperasi di Ipoh, Perak bulan lalu.

Lokasinya yang strategik iaitu di satu kawasan lapang bersebelahan Bulatan Amanjaya di Bandar Meru Raya bakal menjadikan lokasi ini sebagai tarikan baharu ke bandar yang terkenal dengan pelbagai premis makanan.

 

TIGA petugas menunjukkan tanda bagus untuk mengajak orang ramai berkunjung ke Casuarina Sini-Drive di Bandar Meru Raya, Ipoh.

 

Pembukaan pawagam pandu masuk yang boleh memuatkan sebanyak 70 buah kenderaan ini juga merupakan yang pertama di negara ini.

Pawagam pandu masuk kali pertama dibuka di Camden, New Jersey, Amerika Syarikat oleh seorang usahawan, Richard Hollingshead pada tahun 1933 dan berkembang terutama pada era 50-an.

Casuarina Sini-Drive dibangunkan oleh pihak Perak Corp Berhad (PCB) yang juga merupakan pengendali rangkaian Hotel Casuarina milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Menariknya, Casuarina Sini-Drive hasil cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ekoran penularan pandemik Covid-19.

Berkongsi pengalaman pertama kali melihat layar skrin bukan di dalam pawagam seperti kebiasaan, Farhan Hanim, 30, memberitahu ini benar-benar satu kelainan selain tidak berasa terkongkong apabila berada di sebuah padang terbuka.

 

PEMANDU hanya perlu mengimbas masuk di kaunter hadapan sebelum memandu kenderaan ke tempat letak kereta untuk menonton.

 

Malah baginya, menonton wayang di dalam kenderaan bersama keluarga juga mewujudkan lebih kemesraan berbanding di pawagam penonton duduk di kerusi secara individu.

“Lebih relaks selain boleh laras atau rebahkan kerusi kereta mengikut kehendak sendiri. Jika di pawagam, kedudukan kerusi adalah statik, jadi kadang-kadang kurang selesa kecuali bilik pawagam tertentu.

“Soal kawalan anak-anak pula lebih mudah kerana semuanya di dalam satu kenderaan,” ujarnya yang tidak menolak untuk menjadikan Casuarina-Sini Drive sebagai lokasi riadah keluarga yang baharu.

Bagaimanapun, dia mencadangkan agar lebih banyak promosi diadakan mengenai aktiviti itu dan tidak sekadar berlegar di media sosial agar lokasi tersebut lebih diketahui ramai.

Makanan

Bagi juruteknik, Khusairi Ezuan Hikman, 27, pula, walaupun Casuarina- Sini Drive bukan menayangkan filem-filem terkini seperti di pawagam biasa, namun mempunyai keistimewaan tersendiri apabila berbumbungkan bintang-bintang.

Katanya, dia berasa seronok apabila menonton sambil menghirup udara malam dan berbual-bual bersama teman-teman di dalam kenderaan.

“Misalnya pada malam ini. filem Jurassic Park ditayangkan. Berbeza dengan menonton di kaca televisyen atau pun skrin besar sebaliknya, menonton di pawagam terbuka bertemankan kegelapan malam menghidupkan suasana seolah-olah kita turut berada di lokasi filem berkenaan,” ujarnya.

Buat masa ini, Casuarina Sini-Drive hanya dibuka tiga hari seminggu iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan masa tayangan bermula pada pukul 8 malam. Dua buah filem akan ditayangkan pada setiap malam.

 

PELANGGAN boleh memesan makanan seperti bertih jagung secara online dan akan dihantar petugas terus ke kereta.

 

Sementara itu, Penyelia Operasi Casuarina Sini-Drive, Mohd. Hayat Ekhsan memberitahu, pasukannya seramai tujuh orang perlu bersedia seawal pukul 7 petang bagi memastikan persiapan sehingga tayangan selesai lima jam kemudian.

Selain dirinya, petugas lain terdiri daripada kru dapur, juruwang dan penunjuk arah yang kesemuanya merupakan kakitangan Hotel Casuarina Ipoh. Ini tidak termasuk petugas yang mengendalikan tayangan.

“Antara tugas kami adalah memastikan kelancaran keluar masuk pengunjung, misalnya menetapkan kedudukan kenderaan. Sama seperti pawagam, kami juga menyediakan makanan ringan seperti bertih jagung, hot dog dan minuman.

“Cuma bezanya, penonton tidak perlu keluar kenderaan kerana petugas kami akan menghantar terus ke kenderaan,” jelasnya.

Menerangkan lebih lanjut, kata Mohd. Hayat, pihaknya akan dimaklumkan tentang jumlah kenderaan yang akan masuk untuk satu-satu tayangan berdasarkan tempahan yang telah diterima secara online dan tidak termasuk pelanggan yang datang secara terus.

“Kebiasaannya jumlah kenderaan akan meningkat pada hari minggu iaitu Sabtu dan Ahad. Jadi jika ada keperluan, jumlah petugas pun akan digandakan,” katanya.

Sementara itu, majlis pembukaan Casuarina Sini-Drive telah diadakan pada 17 Julai lalu yang disempurnakan oleh Ahmad Faizal dan dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi

Menurut Ahmad Faizal, Casuarina Sini-Drive juga mengambil contoh konsep wayang pacak yang popular dalam kalangan masyarakat sekitar tahun 60-an hingga 80-an khususnya di kampung-kampung.

“PKP memerlukan kita menjaga jarak sosial, jadi kita perlukan norma baharu termasuklah dalam bentuk hiburan. Saya gembira apabila pihak PCB secara kreatif mengambil inisiatif ini. Casuarina Sini-Drive juga akan menjadi satu lagi tarikan pengunjung ke Ipoh,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI