LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) bersama ZK Racing mahu menjadikan Kejohanan SIC MiniGP yang membuka tirai pada Ahad ini sebagai medan mencungkil bakat-bakat muda permotoran tanah air.
Saingan tersebut diadakan di Litar Kart Antarabangsa Sepang (SIKC) menerusi format lima pusingan dengan perlumbaan pertama pada Ahad ini sehingga Disember depan.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang bersedia untuk menganjurkan program permotoran di peringkat akar umbi.
“SIC sentiasa mengalu-alukan program akar umbi seperti Kejohanan SIC MiniGP dan saya tidak sabar untuk melihat anak-anak muda negara beraksi.
“Sejujurnya, pihak SIC memang mahu melahirkan lebih ramai bakat muda pada masa akan datang melalui program seperti ini agar impian untuk menyaksikan pelumba negara mampu mengibarkan Jalur Gemilang di podium pada kejohanan berprestij seperti Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin mengakui berdebar menantikan pusingan pertama penganjuran Kejohanan SIC MiniGP yang disertai oleh pelumba berusia 8 hingga 13 tahun tersebut.
“Saya sangat berharap program ini dapat dijalankan dengan sempurna selepas mendapat kerjasama penuh daripada SIC, Persatuan Permotoran Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.
Kejohanan SIC MiniGP merupakan satu inisiatif program akar umbi yang membolehkan 21 pelumba muda menimba pengalaman sebagai pelumba profesional.
Pelumba berusia lapan hingga 11 tahun akan menunggang jentera ucciMoto BR-10 GP berkuasa 110cc, manakala mereka yang berusia 12 hingga 13 tahun akan menunggang jentera berkuasa 160cc. – K! ONLINE