SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan tempoh reman 13 hari terhadap warga Bangladesh, Md. Rayhan Kabir atas alasan melibatkan integriti negara.
Hakim Ab. Karim Ab. Rahman membuat keputusan selepas berpendapat tempoh itu dirasakan sesuai bagi Jabatan Imigresen melakukan siasatan untuk kepentingan negara.
“Keputusan Hakim Mahkamah Sesyen ( Saifulakmal Md. Said ) adalah sesuai dan wajar.
“Saya tidak berhasrat untuk menyemak keputusan tersebut (tempoh reman),” jelasnya.
Terdahulu pada prosiding tersebut, Md. Rayhan selaku pemohon diwakili Peguam C. R Selva berkata, tempoh reman itu disifatkan tidak tepat susulan anak guamnya telah ditahan 14 hari kerana tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1957/63
“Pas kerjanya telah ditamatkan pada 9 Jun sebelum ditangkap 24 Julai dan telah direman pada 6 hingga 19 Ogos ini.
“Justeru, saya berpendapat tidak perlu anak guam saya direman kerana telah ditahan 14 mengikut Akta Imigresen sebelum proses reman bermula 6 Ogos lalu,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Fazril Sani Mohamed Fadzil menegaskan tempoh reman selama 13 hari itu munasabah kerana melibatkan integriti negara.
“Tambahan, kes ini mendapat liputan meluas media,” katanya.
Md. Rayhan sebelum ini ditahan pukul 5.45 petang, pada 24 Julai lalu di Setapak, Kuala Lumpur oleh Jabatan Imigresen selepas diburu kerana membuat dakwaan migran di Malaysia dilayan seperti haiwan.
Dia membuat dakwaan itu menerusi dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown,
ketika ditemu bual oleh stesen penyiaran Al Jazeera. -K!ONLINE