ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
BENTONG 12 Ogos – Hidup bersama peluru komunis. Itulah yang dialami seorang bekas anggota polis yang terpaksa hidup bersama peluru yang tertanam di dalam badannya sepanjang hayat.
Peluru komunis yang menembusi usus Zainun Mat Seran,62, itu kini tertanam berhampiran tulang pinggul di bahagian kiri badannya sudah lebih 35 tahun.
Menurut Zainun, peluru berkenaan tidak dapat dibuang kerana boleh menyebabkan risiko yang lebih teruk akibat pembedahan.
Katanya, meskipun sudah tidak berasa sakit kesan tembakan dan peluru yang tertinggal itu tetapi detik hitam ditembak komunis sentiasa dalam ingatannya.
“Semasa kejadian saya terkena satu das tembakan di bahagian perut menyebabkan ia menembusi usus saya manakala rakan saya terkena dua das tembakan pada kaki kiri.
“Keadaan saya ini membuktikan keganasan komunis yang tidak boleh diterima dan sebagai rakyat Malaysia kita harus menghargai kemerdekaan dan menolak sebarang anasir dan fahaman komunis yang juga bertentangan dengan ajaran Islam,”katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Menceritakan detik hitam itu, Zainun berkata, pada 24 Mac 1986 dia bersama seorang rakannya sedang melakukan rondaan dengan menaiki kereta di bandar Bentong kira-kira pukul 8 malam.
Katanya, pada waktu itu usaha menangani komunis sedang giat dilakukan dan terdapat laporan menyatakan saki baki komunis memasuki bandar Bentong membuatkan pihak berkuasa perlu membuat rondaan dan kawalan berterusan.
“Ketika meronda saya dan rakan melihat sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di bandar Bentong yang dipercayai salah seorang ketua pemuda komunis pada masa itu.
“Kami kemudian tidak teragak-agak menghampirinya dan apabila dekat lelaki berkenaan secara tiba-tiba melepaskan tembakan jarak dekat kepada kami sebelum dia melarikan diri,”katanya.
Katanya, dalam keadaan kelam kabut itu dia menyedari ditembak di bahagian perut dan rakannya terkena beberapa das tembakan di kaki sebelum dia segera membawa kereta ke hospital.
Zainun memberitahu, akibat kejadian itu dia terpaksa mendapatkan rawatan selama sebulan di hospital dan terpaksa hidup bebarapa bulan dalam keadaan saluran usus berada di luar perut. – K! ONLINE