Oleh YATIMIN ABDULLAH
TUMPAT – Seorang gadis dicekup bersama air dan daun ketum, ubat batuk dan pil Nitrazepam dalam serbuan di sebuah rumah di Wakaf Bharu malam tadi.
Ketua Polis Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud berkata, gadis berusia 20-an dicekup ketika dia berada di ruang tamu rumah terbabit pada pukul 10 malam itu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di sekitar rumah suspek membawa kepada penemuan 151 bungkusan air ketum dan 61 balutan plastik mengandungi daun ketum.
“Selain itu, kita turut temui 70 botol kodein dan 940 biji pil jenis Nitrazepam.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dan tiada rekod lampau,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini hari ini.
Ab. Rashid memberitahu, nilai keseluruhan rampas dianggarkan berjumlah RM3,168.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Terdahulu Ab. Rashid berkata, dalam Op Tapis Bersepadu itu, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai bertindak sebagai pengedar duan ketum.
Katanya, suspek berusia 47 tahun itu dicekup dalam serbuan di Kampung Pasir Puteh, Chabang Empat di sini semalam.
“Dalam serbuan pukul 2.30 petang itu Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM62,230 yang dipercayai hasil jualan daun ketum.
“Kita juga turut merampas 27 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai RM1,080. Kes disiasat bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” ujarnya.
Katanya, kesemua mereka ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 16 Ogos untuk sisatan lanjut. – K! ONLINE