fbpx

Atlet angkat berat Kelantan maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Alif Haiman Othman,22, merupakan pemenang pingat Perak acara angkat berat kategori 150 kilogram pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Perak dua tahun lalu.

Oleh ROSLIZA MOHAMED dan ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Atlet angkat berat Kelantan maut selepas lori yang dinaikinya bersama pemandu hilang kawalan dalam kejadian di Jalan Perol – Peringat, Kampung Padang Mengkali di sini hari ini.

Mangsa, Mohamad Alif Haiman Othman,22, merupakan pemenang pingat Perak acara angkat berat kategori 150 kilogram pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Perak dua tahun lalu maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mangsa bekerja sambilan sebagai kelindan lori manakala pemandunya, Mat Hafizi Mat Ghani, 29, hanya mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kejadian berlaku pada pukul 8.30 pagi tadi.

Menurutnya, lori jenis Isuzu yang dinaiki kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari Perol menghala ke Peringat untuk mengambil ayam di Padang Kala di sini.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, lori itu telah hilang kawalan sebelum merempuh tiang penghadang di kiri jambatan menyebabkan kenderaan dinaiki mereka terbalik.

“Insiden itu mengakibatkan Mohamad Alif yang berada di tempat duduk penumpang telah tercampak ke tingkap sebelah pemandu dan tersepit di dalam lori,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd. Zamri berkata, Mohamad Alif disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Katanya, Hafizi pula dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia dekat Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI