DUSSELDORF, Jerman – Penyerang prolifik Inter Milan, Romelu Lukaku mencipta rekod baharu apabila berjaya menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan berturut-turut yang disertainya pada saingan Liga Europa.
Lukaku, 27, adalah pemain pertama berjaya meledak sembilan gol termasuk empat gol bersama Inter dan menghasilkan lima jaringan ketika bersama Everton.
Kejayaan terbaharu itu hadir selepas Lukaku berjaya meledak satu gol membantu Inter menewaskan Bayer Leverkusen 2-1 pada aksi suku akhir Liga Europa di Arena Espirit awal pagi semalam.
‘Mesin gol’ skuad antarabangsa Belgium itu mengakui Inter sepatutnya boleh menewaskan Leverkusen lebih daripada dua gol tetapi dinafikan kecemerlangan penjaga gol pihak lawan, Lukas Hradecky.
“Kami perlu belajar untuk ‘membunuh’ perlawanan dengan segera apabila mendapat peluang melakukannya. Namun, kami gagal memanfaatkan banyak peluang malam ini (awal pagi semalam) walaupun akhirnya kami menang.
“Penjaga gol mereka juga beraksi dengan cukup baik.
“Sekarang kami perlu berehat secukupnya dan bersedia untuk menghadapi aksi separuh akhir kerana cabaran pastinya lebih besar,” kata Lukaku yang kini mendahului senarai penjaring terbanyak Inter musim ini.
Dua gol dijaringkan Nicola Barella dan Lukaku masing-masing pada minit ke-15 serta 21, manakala pemain buruan Cheslea, Kai Havertz menghadiahkan jaringan saguhati buat Leverkusen pada minit ke-24.
Skuad bimbingan Antonio Conte itu akan berhadapan pemenang satu lagi aksi suku akhir antara Shakhtar Donestk atau Basel. – AGENSI