Oleh NUR NAZLINA NADZARI
KANGAR – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Behor Pulai pada Jumaat lalu.
Tertuduh, Jotha Ni Kom, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Kamaliza Md. Zain.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai mekanik itu didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan sehingga menyebabkan kematian ke atas Mohd. Shahfiq Muhammad Kabir, 32.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika memandu kereta jenis Honda Civic di Jalan Behor Pulai kira-kira pukul 1.30 pagi, Jumaat lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000 serta penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 10 tahun selain lesen dibatalkan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Inspektor Mohd. Zulfadzli Salehen manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Saifulizan Syed Abdul Razak.
Syed Saifulizan memohon jaminan rendah kerana tertuduh menyara ibu bapa serta dua orang adiknya yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Oktober depan.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki yang disyaki mabuk di Jalan Bohor Pulai pada awal pagi.
Mangsa maut di tempat kejadian berikutan parah pada anggota badan selepas tercampak sejurus dirempuh kereta terbabit.-K! ONLINE