KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menganjurkan Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) bermula 1 Ogos hingga 30 November 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, kempen itu menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pembayar yang mendaftar dan menambah potongan zakat melalui Skim PZB.
“Pembayar yang bertuah berpeluang memenangi hadiah seperti komputer riba, telekung eksklusif, kad petrol dan baucar membeli-belah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM40,000.
“Saya menyeru orang ramai memilih saluran ini (Skim PZB) kerana pembayaran zakat anda akan lebih mudah dan tidak membebankan,” katanya pada sidang media Kempen Skim PZB di Wisma PPZ dekat sini hari ini.
Ahmad Shukri berkata, Kempen Skim PZB terbuka kepada semua pembayar zakat sama ada pembayar baru atau yang menambah jumlah potongan zakat.
Menurut beliau, pendaftaran menyertai kempen itu boleh dilakukan secara dalam talian melalui laman web ptg.zakat.com.my atau imbasan Kod QR.
Tambah beliau, pendaftaran boleh juga dilakukan secara manual di sembilan Kaunter PPZ – MAIWP di Kuala Lumpur dan Putrajaya atau di Kaunter Zakat Bergerak PPZ – MAIWP.
Jelas beliau, objektif utama kempen itu bagi menyeru orang ramai khususnya kakitangan swasta dan kerajaan untuk membayar zakat pendapatan secara potongan gaji bulanan.
Kata beliau, langkah tersebut lebih mudah serta selamat tanpa tertangguh dan Skim PZB juga bertujuan menggalakkan pembayar zakat sedia ada menambah bayaran zakat mereka.
“PPZ-MAIWP menyeru umat Islam yang layak menunaikan zakat pendapatan memilih saluran pembayaran zakat Skim PZB bagi membantu ramai asnaf,” katanya. – K! ONLINE.