Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Lelaki warga emas yang hilang selama lebih 24 jam sejak pagi semalam ditemui dalam keadaan selamat di hutan Kampung Batu 11, Serian di sini hari ini.
Mustapa Awang Mamat, 83, yang tinggal di Kampung Baru, Jeram Tekoh di sini sesat sewaktu pergi ke kawasan hutan kampung terbabit untuk mencari batang palas.
Katanya, sewaktu mencari batang palas, dia telah meninggalkan motosikal di luar kawasan hutan sebelum berjalan kaki sejauh satu kilometer ke dalam hutan sebelum tersesat.
“Saya cuba untuk mencari jalan keluar sehingga 7 petang semalam namun, gagal sebelum mengambil keputusan untuk bermalam dalam hutan.
“Pada pukul 1 tengah hari tadi, saya ternampak seorang lelaki sedang memancing di tepi sungai sebelum memanggilnya untuk menghantar saya pulang ke rumah,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, Mustapa dilaporkan tidak pulang ke rumahnya sejak semalam selepas keluar menoreh getah dengan menunggang sebuah motosikal.
Sementara itu, isterinya, Asiah Mat Min, 63, berkata, seorang penduduk kampung berkenaan telah menjumpai suaminya berada di tebing sungai.
“Kami bersyukur apabila dia ditemui dalam keadaan sihat walaupun lebih 24 jam tidak makan.
“Kami sangka dia pergi menoreh getah. Rupanya dia masuk ke hutan yang terletak kira-kira 14 kilometer dari rumah untuk mencari batang palas,” katanya ketika ditemui Kosmo! sebentar tadi.
Asiah berkata, ketika ditemui, suaminya dilihat berada dalam keletihan selain mengalami sedikit luka pada jari selepas terkena pokok buluh.
Katanya, suaminya masuk ke hutan itu selepas seorang penduduk berminat untuk membeli batang palas. – K! ONLINE.