Oleh MASTURAH SURADI
KOTA TINGGI – Dua daripada tiga ekor gajah liar yang berjaya ditangkap Jumaat lalu mula dipindahkan ke Taman Negara Endau Rompin dalam operasi pemindahan yang dilakukan hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, operasi pemindahan itu melibatkan 20 anggota bermula pukul 8.30 pagi tadi mengambil masa kira-kira lapan jam.
Jelasnya, lapan anggota tersebut adalah dari unit tangkapan gajah Johor manakala 12 lagi dari unit pengurusan gajah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.
“Operasi dijalankan di Ladang REM Pasak dan Felda Pasak, Kota Tinggi itu turut dibantu dua ekor gajah denak bernama Abot dan Rambai.
“Dua ekor gajah ditarik ke atas lori bermula pukul 8.30 pagi dan berakhir sekitar pukul 4.15 petang tadi. Keadaan hujan agak menyukarkan operasi berjalan dengan lancar.
“Seekor lagi gajah mungkin akan ditarik esok bergantung kepada keadaan cuaca dan jalan ladang yang terlibat,”katanya kepada Kosmo! hari ini.
Salman berkata, operasi pada hari esok dijangka bermula pada pukul 8 atau 9 pagi jika tidak berdepan sebarang masalah.-K! ONLINE.