ABUJA, Nigeria – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun diselamatkan selepas dua tahun dikurung dalam kandang binatang oleh bapa dan tiga ibu tirinya, lapor akhbar Daily Mail.
Perbadanan Penyiaran British (BBC) melaporkan, kanak-kanak malang yang tidak didedahkan namanya itu diselamatkan oleh sekumpulan peguam hak asasi manusia di rumahnya di Badariya, barat laut Nigeria pada Ahad lalu.
“Mangsa telah diikat pada tiang kayu dan tinggal di kandang bersama ayam dan kambing selama dua tahun.
“Ketika ditemui, budak lelaki itu berada dalam keadaan lapar dan tidak mampu untuk berdiri,” kata ketua pasukan penyelamat, Hamza Attahiru Wala.
Katanya lagi, mangsa kematian ibunya sejak dua tahun lalu, manakala bapa dan tiga ibu tirinya tinggal di dalam sebuah rumah yang selesa bersama 17 ahli keluarga yang lain.
Abang sulung mangsa memberitahu wartawan Sun Nigeria bahawa adiknya terpaksa dikurung dan diikat di dalam kandang kerana menghidap penyakit sawan.
Kanak-kanak itu juga katanya, hanya diikat pada waktu siang bagi mengelak dia daripada melarikan diri.
Kanak-kanak malang itu kini dirawat di sebuah hospital tempatan, manakala bapa dan tiga ibu tirinya ditahan polis untuk membantu siasatan. – Agensi