PRAGUE – Bintang tenis Kanada, Eugenie Bouchard berjaya menemui rentak terbaik apabila meraih kemenangan pertama di Terbuka Prague selepas saingan tenis tertangguh akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.
Bouchard menumbangkan pemain pilihan kelapan, Veronika Kudermetova dengan kemenangan straight set 6-0, 6-3 untuk meraih kemenangan pertamanya di gelanggang tanah liat sejak 2018.
Jelitawan berusia 26 tahun tersebut beraksi di Terbuka Prague atas tiket wild card ekoran terlepas semua kejohanan pada Februari akibat kecederaan tangan yang menimpanya awal tahun ini.
Akibat kecederaan tersebut, Bouchard yang sebelum ini berada di ranking kelima dunia jatuh ke ranking 330 dunia.
“Saya bangga dengan kemenangan ini dan saya mahu kekal fokus. Corak permainan saya tidak berapa baik pada set pertama, namun saya berjaya memperbaiki kesilapan tersebut.
“Bagi saya ini adalah permulaan terbaik selepas berehat panjang akibat kecederaan tangan sebelum ini. Saya harap mampu melangkah jauh dan memburu lebih banyak kejuaraan,” kata Bouchard.
Sementara itu, pemain pilihan keempat dari Ukraine, Dayana Yastremska terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir selepas mengalami sakit gigi. – AGENSI