SKUAD Harimau Malaya tidak akan beraksi secara kompetitif pada tahun ini selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menangguhkan baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada tahun depan.
Sebagai rekod, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu sepatutnya kembali beraksi pada Oktober depan apabila dijadualkan bertemu dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam sebelum mengakhiri saingan Kumpulan G dengan menentang Thailand pada November.
“Disebabkan pandemik Covid-19 masih belum reda, AFC dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (AFC) telah mengambil keputusan untuk menangguhkan baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ke tahun depan.
“Keputusan ini diambil bagi menghindari semua pemain dan pegawai daripada jangkitan wabak Covid-19 dan kami akan maklumkan tarikh baharu untuk aksi kelayakan ini tidak lama lagi,” kata AFC dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang sepatutnya dilangsungkan pada Disember turut ditangguhkan pada tahun depan. – K! ONLINE