KUALA LUMPUR – Seekor kucing dibunuh dengan kejam apabila badannya dilapah dan beberapa organ dalaman turut diambil oleh individu yang tidak dikenali di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor baru-baru ini.
Gambar haiwan tersebut yang dimuat naik di laman Facebook Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) menjadi tular sejak semalam.
“Apalah dosa kucing betina ini sehingga si pelaku sanggup membunuh haiwan ini dengan sangat kejam. Perutnya dirobek, organ dalaman seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang turut diambil.
“Kucing ini ditemui oleh pemiliknya beberapa meter dari kediaman mereka dalam keadaan isi perutnya terburai,” kata laman itu.
Menurutnya, tengkorak kepala kucing itu turut hilang, hanya tinggal kulit kepala lengkap dengan hidung dan telinganya selain tiada tompokan darah ditemui di kawasan itu.
Persatuan tersebut turut mengesyaki kejadian itu bukan disebabkan oleh serangan haiwan lain berikutan kesan torehan yang terdapat pada bangkai kucing berkenaan.
“Animal Malaysia masih menjalankan siasatan mengenai kejadian ini. Kami sedang berusaha mencari sebarang petunjuk dan saksi kejadian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi WhatsApp hotline Animal Malaysia 011-2090 1097,” tambahnya. – K! ONLINE