Razlan kecewa pretasi Petronas Sprinta
PRINSIPAL pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali dilihat tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan Moto2 dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) selepas gagal memperoleh keputusan terbaik di Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno kelmarin.
Pada perlumbaan itu, pelumba Petronas Sprinta Racing, Xavi Vierge dilihat masih belum mendapat rentak terbaik bersama jentera Moto2 apabila sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12, manakala Jake Dixon gagal menamatkan perlumbaan selepas berdepan masalah teknikal.
Meskipun saingan sudah memasuki pusingan keempat, pelumba kelahiran Sepanyol, Vierge masih belum mampu memberi tentangan sengit untuk menaiki podium apabila catatan terbaiknya musim ini sekadar berada di kedudukan kesembilan.
Untuk rekod, catatan terbaik Vierge adalah menamatkan saingan di tempat kelapan pada GP Andalusia, kesembilan untuki GP Qatar dan ke-10 buat GP Sepanyol.
“Saya kecewa dengan keputusan yang diraih pasukan Moto2. Dixon gagal menamatkan perlumbaan apabila jenteranya berdepan masalah teknikal dan menarik diri. Vierge pula mengalami masalah tayar dan dia terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-12.
“Perancangan asal, kita mahu Vierge berjuang mendapatkan podium kerana tahun lepas dalam saingan Moto2 kita gagal memperoleh keputusan baik. Saya akui perlu mencari sesuatu untuk menambah baik prestasi mereka pada perlumbaan akan datang,” kata Razlan.
Pada musim ini, Razlan meletakkan sasaran buat Vierge untuk berada dalam ranking kelima keseluruhan bagi carta kedudukan pelumba Moto2. Selepas empat perlumbaan, Vierge di kedudukan ke-11 dengan 25 mata manakala Dixon tempat ke-22 (dua mata). – K! ONLINE