BRNO – Perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech 2020 menjadi hari bersejarah buat pasukan Red Bull KTM selepas berjaya meraih kemenangan pertama dalam kelas premier kelmarin.
Selepas empat tahun kehadiran KTM dalam saingan MotoGP, mereka akhirnya mampu meraih kemenangan sulung di Litar Brno selepas bekerja keras mendapatkan pelarasan terbaik terutama pada bahagian casis.
KTM yang menyertai saingan MotoGP pada 2017 turun dengan konsep berbeza berbanding pencabar lain apabila mempertaruhkan jentera RC16 dengan casis keluli berbentuk tiub dan mengunakan sistem penyerap hentak berbeza berbanding yang biasa digunakan pasukan lain.
Perlumbaan ketiga di Brno menyaksikan KTM mula mempamerkan taring sebenar selepas pelumba berstatus rookie, Brad Binder mencipta kejutan besar dengan meraih kemenangan.
Bagaimanapun, penghargaan perlu diberikan kepada pelumba uji mereka, Dani Pedrosa yang menjadi watak penting dalam proses pembangunan casis jentera RC16 yang lebih berdaya saing.
Pedrosa membantu barisan kejuruteraan KTM membangunkan casis double beam widely yang lebih sesuai untuk jentera pasukan yang berpangkalan di Austria itu.
Hasilnya casis baharu itu menyebabkan para pelumba mereka Binder dan Pol Espargaro mampu menawan karakter liar jentera KTM terutama untuk mendapatkan kestabilan ketika keluar dari selekoh dengan laju.
“Saya sangat teruja dan gembira dengan kemenangan pertama KTM ini terutama Brad Binder yang meraih tempat pertama,” kata Pedrosa di laman Instagram miliknya selepas tamat perlumbaan.
Kejayaan KTM turut mendapat perhatian bekas rakan sepasukanya, Jorge Lorenzo selepas memuji Pedrosa atas kerja keras bersama KTM sebelum ini.
“Tahniah Binder untuk penampilan yang luar biasa dan tunggangan yang mantap pada perlumbaan yang sukar itu. Tahniah juga pada pasukan KTM dan Pedrosa yang melakukan kerja terbaik pada jentera KTM,” ujar Lorenzo – AGENSI